WWW.LISTEN2QURAN.COM 2 2

Friday, December 25, 2009

PENUHI MASA MUDA UNTUK KEBAHAGIAN MASA TUA BHG 2

Peringatan itu diberikan oleh Rasulullah S.A.W dengan suatu tawaran befaedah,supaya tidak mensia-siakan peluang yang diperoleh secara percuma.Ibarat mendapat harta ghanimah, keuntungan tanpa perlu modal,sedangkan orang berniaga mesti melalui modal.

Justeru,kesempatan yang datang secara percuma itu,dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W supaya tidak membiarkannya berlalu sia-sia kerana sekiranya seseorang itu diberi kesempatan oleh ALLAH S.W.T hidup dengan umur yang panjang,pasti ia akan menempuh masa muda.Masa muda itu diberi dengan tidak payah di minta.

Masa muda jangan dibiarkan berlalu tanpa erti,kerana masa muda itu penuh dengan kecergasan fizikal dan mental.Pergerakan jasmani yang kuat untuk melakukan sesuatu pekerjaan atau amal,dan mental remaja yang segar memberikan ruang yang cukup bagi mencapai berbagai-bagai ilmu pengetahuan dan pengalaman.

Masa muda itu tidak akan bertahan,kerana usia akan menjangkau dewasa dan akhirnya tiba masa tua.Setiap detik yang berlalu tidak akan berulang lagi,dan saat remaja hanya kenangan.Jika masa remaja tidak digunakan menurut selayaknya,pastilah akan meninggalkan kenangan pahit di masa tua.